Showing posts with label Topik 6: Tips & Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Topik 6: Tips & Motivasi. Show all posts

Tuesday, 28 May 2019

Cara Elak Anak Kena Gigit Nyamuk Bila Dalam Buaian

Assalamualaikum.

Hari ini memang tak ada idea langsung nak tulis apa, tup, tup, ternampak buaian anak dalam bilik. Hajat di hati dah lama nak tulis pasal nyamuk dan buaian ni, jadi hari ni jomlah saya bercerita.

Kisahnya mengenai rumah saya ni, adakalanya memang banyak nyamuk terutamanya bila musim panas. Musim di mana hujan jarang turun, asyik panas sahaja. Entahlah, mungkin sebab dekat dengan kolam kumbahan, takungan air tu banyak jadi nyamuk asyik nak mengawan saja kot musim-musim panas tu.

Al-kisahnya saya pun bukannya selalu sangat letak anak dalam buaian, dah 9 ke 10 bulan ke atas baru selalu masukkan ke dalam buaian sebab susah sangat anak saya ni nak tidur. Sebelum tu adalah juga masukkan ke dalam buaian cuma jarang sekali.

Tetapi alang-alang dah masukkan ke dalam buaian, menyinga jugalah rasa bila tengok 2 ke 3 ekor nyamuk berterbangan sekitar anak saya tu dalam satu-satu masa. Haih, geram rasa. Nak tepuk pun payah sebab anak kan tengah tidur, mau terjaga dibuatnya. Jadi berligatlah kepala otak ni mencari apa nak buat dengan nyamuk ni.

Ubat nyamuk? Hihu, saya ni memang sejenis yang kurang suka nak pasang ubat nyamuk di siang hari. Dahlah malamnya semalaman dah buka ubat nyamuk elektrik tu, ni siang pun nak buka juga.

Jadi, masa tengah mengomel-ngomel dengan suami pasal benda ni, tiba-tiba tak tahu macam mana terpacul satu idea ni di kepala otak saya. Saya teringat yang suami pernah beli kelambu ala-ala pengantin gitu masa kami sebelum kahwin di Ikea. Ha, kelambu yang ada bulatan di bahagian atasnya tu.

Masa tu beli pun sebab suami asyik bising pasal nyamuk. Sebelum kahwin pun dia memang duduk di rumah ni. Jadi bila nampak kelambu tu saya pun suruh dia beli. Tapi sampai lepas kahwin, sampai dah ada anak pun tak guna-guna lagi, haha. Bila dah ada masalah nyamuk masa anak dok dalam buaian ni, maka gunakanlah. Jadi, inilah hasilnya, hihi.





Haha, kelakar pula tengok gambarnya, tapi inilah hasilnya. Memang lepas tu dah tak rasa risau dah pasal nyamuk, boleh tersenyum dengan gembiranya, hihi.

Jadi bagi sesiapa yang tak mahu guna ubat nyamuk tak kiralah yang lingkar hijau tu, yang elektrik tu, yang sembur-sembur tu, bolehlah guna cara ni. Carilah mana-mana kelambu yang sesuai tapi yang Ikea punya ni syok sikit sebab ada kayu bulat di bahagian atasnya tu, jadi kelambu tu elok saja bentuknya.

Ok, boleh cuba ya!

Wednesday, 22 May 2019

Tiga Fakta Mengapa Ekonomi Orang Islam Di Malaysia & Indonesia Masih Lemah

Assalamualaikum.

Ok, memandangkan dah cuti 2 hari, jadi kenalah juga ganti menulis sesuatu untuk dua hari tu.

Apa yang saya nak tulis ni, dari hari Isnin hari tu saya nak tulis dah. Selepas sahaja melihat rancangan Ayuh Bangkit di TV Al-Hijrah pukul 8.45 malam, terus saya nak menulis tiga fakta ini. Tiga fakta yang diberikan oleh panel tersebut iaitu mengapa orang Islam di Malaysia dan Indonesia tidak menguasai ekonomi padahal orang Muslimlah paling ramai populasinya di kedua-dua negara ini.

Lagi satu mengapa saya nak tulis mengenai topik ini kerana sentap jugalah saya bila diutarakan tiga fakta ini, terutama fakta yang terakhir. Perlu diambil pengajaran oleh semua.

Ok, episod Isnin lepas mengutarakan tiga fakta ini. Tiga fakta atau tiga poin mengapa orang Islam di Malaysia dan Indonesia mempunyai peratusan penglibatan dalam ekonomi yang sangat rendah padahal peratusan populasi kita adalah lebih tinggi berbanding orang bukan Muslim.


FAKTA 1: Kurang ilmu kewangan.

Iya, sentap juga ni. Padahal dalam Islam dah bagitahu jangan membazir dan ukurlah baju di badan sendiri. Tambahan pula dengan stigma orang Islam tak perlu kaya kerana harta bukan boleh dibawa mati pun.

Hmm, memanglah tak boleh bawa mati, tetapi boleh dimanfaatkan untuk kehidupan lepas mati nanti, kan? Contohnya apabila ia dimanfaatkan oleh orang-orang lain di dunia ini, kan dapat pahala tu. Pahala tu kan dibawa sampai mati.


FAKTA 2: Kurang ilmu perniagaan.

Fakta ini katanya berkait juga dengan Fakta 1. Iyalah, bila dah kurangnya ilmu kewangan sudah pastinya ilmu perniagaan pun kurang mahir kerana ia juga melibatkan wang, duit, transaksi duit dan sebagainya. Kewangan diri sendiri pun tak boleh nak urus bagaimana pula untuk mengurus kewangan syarikat, kan? Logik di situ.


FAKTA 3: Kurangnya pendedahan dari usahawan Muslim yang sudah berjaya.

Ok, yang ini lagi makan dalam. Kata panel, di Malaysia dan Indonesia ni, bukan tak ada peniaga atau usahawan Muslim yang berjaya, ada tetapi mereka tidak mengalirkan ilmu itu kepada muslim yang lain.

Bila mendengar kata-kata panel ni, terus terdetik kata-kata yang Melayu ni penuh hasad dengki. Terus teringat kepada bomoh membomoh. Yup, realiti yang pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya. Saya merujuk kepada 'Melayu' di sini kerana kebanyakan yang muslim di Malaysia dan Indonesia ini adalah Melayu. Maaf jika sentap ya.


Pada saya, kenapalah nak cemburu sangat weh dengan kejayaan orang lain, dia usaha, bukan dia tak usaha. Itu rezeki dia. Rezeki ni kita kena bayangkan bahawa kita dan orang lain berjalan pada jalan-jalan yang berlainan. Anda kena muhasabah diri sedikit dan apabila ada cemburu yang timbul, anda kena bayangkan dua perkara ini (inilah juga perkara-perkara yang saya selalu buat jika terdetik rasa cemburu dengan kejayaan orang lain):


1. Bagaimana dia berusaha dengan bagaimana anda berusaha.

Cubalah tengok usaha dia dan cuba pula tengok usaha anda bagaimana. Kadang usaha kita alahai seciput saja tapi nak marah bagai usaha kita tu berciput-ciput macam usaha dia.


2. Jika anda rasa anda lebih berusaha daripada orang yang anda cemburu tu, bayangkan pula anda dan orang yang anda cemburu tu berjalan di atas dua jalan yang berbeza. Walaupun anda dan dia berjalan bersebelahan tetapi bayangkan jalan anda ada batu-batu keras nak dialihkan, mungkin batu dia kecil sahaja tetapi batu anda besar. Mungkin selepas itu berjumpa dengan singa tetapi kali ni singa dia lebih besar pula.


Antara statistik yang diberikan dalam episod hari Isnin lepas. Jika nak tengok episod penuhnya, ada di Youtube. 15 minit je pun untuk setiap episod.   

Jadi tak perlulah nak cemburu bagai sangat, Allah dah jadikan setiap jalan rezeki untuk setiap manusia itu berbeza, walaupun mereka tu kembar muka serupa. BERBEZA, ok?

Mohon sentaplah dan hentikanlah perbuatan cemburu mencemburui yang negatif ni. Penat nak layan.

Wednesday, 8 May 2019

Jom Kurangkan Pembaziran Makanan Dengan Aplikasi 'Oh!FreeFood'

Assalamualaikum.

Ok, hari ini saya nak berkongsi mengenai satu aplikasi telefon ni yang dipanggil Oh!FreeFood.

Sangat menarik!!





Saya tahu mengenai aplikasi ini apabila ada seseorang mewarwarkannya dalam satu grup Telegram yang saya sertai. Saya tengok, eh, macam syok saja aplikasi ni. Jadi saya pun memuatturun aplikasi ini.

Bila dah muat turun, ok, memang 'ohsem'!!



Aplikasi ni ada dua bahagian utama yang penting, satu 'Share A Food', satu lagi 'Grab A Food'.



Untuk 'Share A Food' tu, anda boleh letak makanan yang anda nak bagi dan ia akan keluar di 'Available Free Food' tu. Kebanyakan yang saya tengok mereka berikan makanan kering. Tapi ok saja kot jika anda nak bagi makanan basah, anda boleh cuba.

Untuk 'Grab A Food' tu pula jika anda nak ambil makanan yang orang lain bagi. Anda tengoklah jika anda kena ambil sendiri (self pick up) atau kena jumpa orang yang bagi tu di mana-mana (meet up).

Pendapat saya, aplikasi ini sangat bagus. 

Mungkin sekarang ini nampak macam tak ramai pengguna lagi tetapi cuba anda bayangkan jika sudah ramai pengguna nanti. Manalah tahu tiba-tiba ada barang yang diiklankan di situ adalah barang yang memang anda nak guna dan mereka berikan secara percuma. Kebetulan pula pemberi itu berada berhampiran dengan anda. Apa salahnya kan ambil?

Jika anda hendak beri sebarang saguhati pun ok saja. Terpulang. Yang penting pada saya kita dapat kurangkan pembaziran. 

Contoh ada iklan yang saya tengok semalam, ada seorang ni dia nak bagi mi segera Rusky sebab rumahnya dah tak ada cerek pemanas, bukan sebab mi segera tu rosak atau dah tarikh luput. Alah, setakat satu dua bungkus mi segera takkanlah nak jual pula, baik bagi orang saja kan. Ha, itulah konsepnya.

Yang ni salah satu contoh juga, saya nampak ada orang iklankan pasal kurma ni semalam. Bro ni salah seorang yang mengambil kurma yang diiklankan.




Jadi apalagi, jom muat turun ramai-ramai aplikasi ini. Kita manfaatkan sebaik mungkin. JOM!!! Satu Malaysia kita muatturun. 

Wednesday, 24 April 2019

Tips Kurangkan Basuh Pinggan Kotor Semasa Bekalan Air Tiada

Assalamualaikum....

Hari ini bermulanya situasi catu-mencatu penggunaan air bagi sebahagian penduduk Selangor dan Kuala Lumpur. Empat hari secara berterusan, memang kena bertabahlah.

Tapi nak buat macam mana, nak merungut banyak pun tak guna. Baik kita cari alternatif untuk mengurangkan penggunaan air semasa ketiadaan air ini.

Antara tips yang boleh saya berikan kepada anda untuk mengurangkan penggunaan air semasa ketiadaan air ini adalah menggunakan plastik sebagai alas kepada pinggan mangkuk anda.

Tips ini datangnya dari mak saya. Inilah yang mak saya buat setiap kali rumah kami tiada air.

Mak saya memang sentiasa ada pelbagai jenis plastik di rumah. Iyalah, kadang anaknya nak tapau itu ini, bila dah tak ada bekas sangat, plastiklah penyelamatnya. Guna waktu terdesak sahaja.

Plastik yang mak saya gunakan untuk alas pinggan ini adalah plastik berbentuk segiempat sama yang selalu orang buat untuk bungkus nasi lemak. Iyalah, saiz segiempat sama tu memang muat sangat dengan kebanyakan saiz pinggan yang orang Malaysia guna untuk makan-makan.

Ni saya bagi contoh-contohnya, bukan gambar nasi lemak saya ni, ambil dari Google. Entah siapa punya gambarlah ni, mohon kebenaran guna ya, hihi.



Nampak tak plastik nasi lemak tu? Ha, plastik itulah kami guna untuk alas pinggan masa air tiada

Anda juga boleh guna alas lain seperti daun pisang. Tapi daun pisang yang dijual di pasaraya pun dah berapa ringgit sekarang, mahal juga kan? Tambah kadang tercarik sana tercarik sini. Tapi ikut andalah, tepuk dada tanya selera. Jangan tepuk daun pisang pula!.

Apa pun apabila menggunakan plastik ni, adalah juga tercalit sedikit sebanyak kotoran di pinggan tu. Cuma kotorannya tidaklah sebanyak jika tidak menggunakan plastik ini. Masih lagi boleh dicalit dengan tisu sahaja atau basuh dengan air yang sedikit sahaja. Dah jimat air di situ.

Ok semua, harap tips ini bermanfaat untuk anda. Sekurang-kurangnya dapatlah juga menjimatkan sedikit sebanyak penggunaan air di rumah anda semasa ketiadaan air ini, kan?