Saturday 8 May 2021

HARTA PERLU DIURUS WALAUPUN SETELAH MENINGGAL DUNIA (Episod 3/5)

Di post-post yang lepas telah dinyatakan tentang pentingnya membuat wasiat pesanan. 


Tetapi, bagaimana cara yang terbaik untuk membuatnya?

 

Ok, mari kita melihat zaman datuk nenek kita dahulu di mana kebanyakan wasiat pesanan ini hanya dibuat melalui lisan dan kebetulan hanya kepada orang-orang tertentu sahaja. Contohnya hanya kepada anaknya yang sulung sahaja, sebabnya kebetulan anak sulungnya itu ada ketika dia ingin menyampaikan pesanan tersebut, jadi si ibu bercakap sahajalah pada anaknya itu. 


Sedangkan sebenarnya pesanan itu juga mahu disampaikan kepada anak-anaknya yang lain. Contohnya pesanannya supaya sentiasa berbaik-baik sesama adik-beradik walaupun setelah si ibu meninggal dunia. Ataupun pesanan supaya sentiasa menjaga solat dan hubungan dengan Allah SWT walaupun nanti si ibu dah meninggal dunia, dan pelbagai pesanan lagi.

 

Dan juga mungkin sesuatu pesanan itu diberikan kepada satu dua orang sahaja, tetapi sebenarnya tanpa disedari ia juga melibatkan beberapa orang lagi. Contohnya si ayah berpesan nak berikan tanahnya kepada anaknya yang kedua dan berpesan pada anaknya itu sahaja. Namun ayahnya terlupa bahawa anak-anaknya yang lain juga ada hak pada tanah tersebut apabila si ayah meninggal dunia nanti.

 

Dari dua contoh ini kita dapat lihat, iya, kedua-dua individu tersebut mahu berpesan. Jadi, jika ingin berpesan, buatlah wasiat pesanan dan seelok-eloknya buatlah dalam bentuk yang berdokumen. Maknanya tulislah. BUKAN SEKADAR BERKATA-KATA.

 

Tulislah dalam diari anda atau di mana sahaja yang dirasakan waris-waris anda boleh menjumpainya apabila anda sudah meninggal. Kemudian jangan lupa pula berpesan pada waris-waris anda di manakah anda meletakkan dokumen atau diari tersebut.

 

Ataupun tulislah dengan pihak yang bertauliah dari segi undang-undang. Mengapa perlu pihak bertauliah?

 

Ini kerana :

 

- pertama, pihak bertauliah itu akan juga menyimpan salinan tambahan wasiat pesanan tersebut apabila salinan di pihak anda hilang/tidak dijumpai oleh waris.

- keduanya, supaya para waris tahu bahawa apa yang ditulis di dalam wasiat pesanan itu sememangnya adalah dari anda, bukannya dibuat-buat oleh orang lain.

 

Wah, seriusnya sampai kena buat dengan pihak bertauliah, dengan kosnya lagi. Pasti begitu anggapan anda.

 

Anda, zaman sudah berubah. Kita bukan lagi hidup di zaman datuk nenek kita di mana servis sebegitu masih lagi berkurangan ataupun tiada langsung. Di mana di zaman itu semua menganggap membuat wasiat pesanan ini hanya untuk warga kayangan sahaja.

 

Zaman ini dengan kos yang mampu milik anda mampu membuat wasiat pesanan itu. Kita patut berubah kerana di luar sana terdapat hampir 70 billion harta umat Islam di Malaysia ini yang tidak dapat dimanfaatkan kerana kurangnya keprihatinan kita untuk mengurus harta pusaka kita setelah kita meninggal dunia. Kita mengharapkan waris-waris kita untuk menguruskannya dengan baik, namun harapan biarlah ada strategi dan tindakan.  

 

Ok, post seterusnya mengenai wasiat 1/3. Nantikan. 




Tuesday 4 May 2021

HARTA PERLU DIURUS WALAUPUN SETELAH MENINGGAL DUNIA (Episod 2/5)


Wasiat, ramai yang pernah mendengarnya, namun ramai juga yang salah faham terhadap terma wasiat ini.

 

Jom mari kita pelajari apa itu wasiat.

 

Ada beberapa jenis wasiat yang masyarakat Islam di Malaysia ini perlu tahu secara umum, iaitu wasiat pesanan dan wasiat 1/3. Jadi apabila anda berbicara mengenai wasiat, pastikan wasiat mana yang sedang dibicarakan.

 

Ok, kita bercerita dahulu mengenai wasiat pesanan ya. Wasiat pesanan yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah kata-kata atau apa sahaja bentuk pesanan yang disampaikan oleh si mati. Kepada sesiapa sahaja.

 

Seperti yang biasa kita lihat dalam drama-drama Melayu, apabila watak si bapa atau si ibu atau apa-apa watak sekalipun, dalam keadaan nazak, kita melihat watak-watak tersebut ada memberikan pesanan tidak kira dalam bentuk arahan ataupun dalam bentuk nasihat kepada orang-orang di sekelilingnya yang ada pada ketika nazak itu. Biasanya bapa kepada si anak atau ibu kepada si anak, atau suami kepada isteri, isteri kepada suami,  nenek kepada cucu dan banyak situasi lagilah. Itulah yang biasa kita lihat dalam drama dan juga sebenarnya dalam realiti kehidupan juga.

 

Tapi mengapa di ketika waktu nazak sahaja ingin berpesan? Buatnya tak sempat, macam mana?

 

Di sinilah pentingnya membuat wasiat pesanan ini secepatnya walaupun kita masih muda belia lagi. Selalunya perkara membuat wasiat ini dikaitkan dengan orang-orang tua sahaja. Minda sebegini perlu diubah, kerana apa? Anda semua pun tahu kenapa.

 

Kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan menjelma.


Like dan follow kami di facebook: https://www.facebook.com/QnAHartaPusakaIslam dan juga di blog kami http://qnahartapusakaislam.blogspot.com/

 

Ingin berkongsi kisah pusaka anda untuk kami berikan konsultansi percuma? Mahupun berkongsi untuk dijadikan teladan untuk orang di luar sana? https://forms.gle/Az7LWQpjkJo4T7sA7

 

Nak buat hibah/wasiat? www.wasap.my/601111438363/nakbuathibahwasiat

 

Nak jadi ejen hibah/wasiat? www.wasap.my/601111438363/ejenhibahwasiat




Monday 3 May 2021

HARTA PERLU DIURUS WALAUPUN SETELAH MENINGGAL DUNIA (Episod 1/5)


Semua manusia akan mati. Ini memang sudah ditentukan oleh Allah SWT.

 

Lumrah alam, apabila seseorang manusia itu mati, dia akan meninggalkan segala yang pernah dimilikinya di muka bumi ini. Keluarganya, saudara-maranya, sahabat-handainya, pangkat dan jawatannya, hartanya, mahupun hutang-hutangnya (jika dia ada meninggalkan hutang).

 

Harta. Memang tidak boleh dibawa ke kubur sebab memang tiada gunanya di alam kubur. Namun ramai yang terlupa bahawa harta yang ditinggalkan di dunia ini mampu menjadi asbab untuk kita mendapat rahmat Allah di akhirat nanti dengan izin Allah SWT, iaitu dengan cara bersedekah, berwaqaf dan berinfak.  

 

Iya, ramai yang terlepas pandang perkara ini.

 

Ini kerana dalam masyarakat umat Islam Melayu di Malaysia ini, harta yang ditinggalkan kebiasaannya kesemuanya akan diberikan kepada waris-waris faraid mereka. Betul, tidak salah untuk kita berikan kesemuanya kepada waris-waris faraid kita, namun jika ada lebihan, apalah salahnya disedekahkan supaya pahala yang kita dapat itu sentiasa berterusan InsyaAllah hingga ke hari akhirat walaupun kita sudah meninggal dunia.

 

Di sinilah pentingnya untuk kita menulis wasiat supaya waris-waris kita dapat menguruskan harta kita sebaik-baiknya mengikut hajat yang dikehendaki oleh kita setelah kita meninggal dunia nanti.

 

Apa itu WASIAT? Pentingkah membuat wasiat?

 

InsyaAllah akan disambung ceritanya pada post akan datang.


Like dan follow kami di facebook: https://www.facebook.com/QnAHartaPusakaIslam dan juga di blog kami http://qnahartapusakaislam.blogspot.com/

 

Ingin berkongsi kisah pusaka anda untuk kami berikan konsultansi percuma? Mahupun berkongsi untuk dijadikan teladan untuk mereka di luar sana? https://forms.gle/Az7LWQpjkJo4T7sA7

 

Nak buat hibah/wasiat? www.wasap.my/601111438363/nakbuathibahwasiat

 

Nak jadi ejen hibah/wasiat? www.wasap.my/601111438363/ejenhibahwasiat




Saturday 1 May 2021

Produk Cecair Mandian Head To Toe Jenama Honey & Olive: Ok, Saya Suka!

 

Assalamualaikum.


Hi, hari ni 1 Mei 2021, jadi diucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja di Malaysia, semoga kita sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.


Ok, hari ni nak cerita pasal satu produk bayi ni, Honey & Olive nama jenamanya. Produk yang saya guna ni adalah sabun cecair mandian dari kepala ke kaki (Head To Toe). Mula-mula saya membeli jenama ini sebab tengok ada dijual dalam botol kecil berapa ml lupa dah, nanti saya tengok balik di botolnya berapa ml. Saya beli di Shopee, harga RM10. Pada saya ok, berbaloi juga, sebab nak cuba je dulu.


Saya beli produk ni sebab anak saya yang kedua ni sangat kuat berpeluh di kepala. Ada masa boleh sampai basah lencun bantal di bahagian kepalanya. Saya yang tengok pun, Ya Allah, kenapa sampai basah macam ni, banyak betul peluhnya.


Adalah saya cuba beberapa jenama syampu/cecair mandian yang biasa yang berada di pasaran, tapi masih lagi dia menggaru-garu dan tidak selesa. Kasihan saya tengok. Jadi saya carilah di Shopee dan nampaklah jenama Honey & Olive ni. Yang penting harganya berpatutan. 


 


Ok, yang ni yang botol besar, 500ml. Harga dalam RM26++ macam tu je. Pada saya berbaloi. 





Ini bahan-bahannya. Saya pun tak periksa lagi tahap bahaya semua bahan tu, tapi saya rasa sepatutnya tak ada masalah. InsyaAllah nanti saya periksa.



Bila dah belek-belek labelnya, laaa, dari pengeluar Mary Jardin rupanya. Ok, jadi boleh dipercayai.




Ni yang botol kecil yang saya beli dulu sebelum beli yang besar. 


Apa-apa pun setakat yang saya pakai setakat hari ni saya sangat berpuashati. Rambut anak saya dah jadi lembut, dia pun dah tak ada menggaru saya tengok. Cuma baunya kalau dapat bau lavender ke, bau bunga-bungaan ke syok juga. Macam disuruh beli massage oilnya sahaja sebab massage oil dia tu ada bau lavender dan boleh dipakai untuk kulit dan juga rambut. 


InsyaAllah tengoklah kalau ada rezeki dan memerlukan untuk pakai massage oil tu, ok juga nak beli, kan? Hihi.


Oklah, setakat ini saja coretan saya untuk kali ni. Saya tak jual tau, anda boleh cuba cari di Shopee atau mana-mana ejen dia. 

Friday 30 April 2021

Resepi Pancake/Penkek Pisang Susu (Banana Milk Pancake) Untuk Kanak-Kanak Mahupun Bayi

 Assalamualaikum.


Pagi ni saya buat penkek, untuk anak saya si Azhad Teh ni. Dia ni tak boleh lambat kalau sarapan, bangun pagi je terus dia nak makan sarapan. Lapar sangat kot bila dah bangun tu. 


Lagipun ada sejak dua menjak ni sebelum bulan puasa hari tu dia selalu ikut papa dia pergi mamak awal-awal pagi. Apa lagi, pekena tosai lah, takpun roti canai. Tapi dah bulan puasa ni, papa ko pun dah tak pergi sarapan si Azhad oi, jadi tak apalah, mama buatkanlah sarapan. Selalu saya memang suruh papa dia beli je kuih untuk sarapn dia ni, ada si kecil Ayra tu, entahlah, tak menyempat rasa nak buat sarapan untuk si Azhad ni. Lagipun papa dia memang setiap pagi nak pekena nescafe tarik, maaflah ek, mama tak sempat nak buat setiap pagi, jadi pergilah mamak ek, hihi. 


Ok, ini resepi untuk buat penkek ni, senang sangat. Saya ambil resepi ni dari fb group Happy Baby Foods Malaysia. Macam-macam resepi ada dalam tu, cari sahajalah dalam tu. Memang merancang juga nak buat sarapan si Azhad pagi ni berasaskan pisang sebab ada lagi sebiji pisang tinggal di dapur tu. Selalu saya buat lempeng pisang guna tepung beras dan tepung jagung (ala-ala gluten free gitu). 


Tapi bila tengok dalam group tu ada resepi penkek pisang yang senang dan mudah ni, ha, terus saya buat. Ok, ini bahan-bahannya:


Pisang sebiji (atau secukupnya)

Tepung gandum 1 cawan (saya guna unbleached jenama Faiza)

Susu 1/2 cawan (saya larutkan susu tepung si Ayra ni sebab dah lama macam tak guna, papa dia lah beli susu tepung tu saja kononnya takut susu badan saya tak cukup, tapi Alhamdulillah, cukup sehingga hari ini, jadi saya gunalah susu tepung tu dalam masakan dorang ni)

Telur 1 biji (saya guna gred B)


Ok, campur sahaja kesemuanya. Jika macam pekat sangat, tambah air sedikit demi sedikit sampai dapat tekstur yang dikehendaki. Macam saya memang saya tambah air sedikit sebab tengok pekat sangat sampai dapat tekstur penkek.


Dan inilah hasilnya. 


Yummieee, dapat 9 keping. Sekeping bagi Ayra, 8 keping tu Azhad yang punya 😃



Nampak gebu kan? Tapi kalau nak lagi gebu korang boleh tambah baking powder. Ni sebab masak untuk budak-budak, tak digalakkan letak baking powder sebab macam Ayra tu baru setahun lebih, jadi tak boleh sangat makan baking powder

Oo, lupa pula. Saya ada tambah garam sikit, sedikit sahaja, nak bagi rasa. Azhad ni pun nak dekat 3 tahun, jadi memang dah makan makanan bergaram. Ayra tu, dia ada sarapan lain, Biskut Keju. Jadi yang penkek ni saja nak bagi dia rasa sebab biasalah, bila abang dah makan, dia pun nak makan sekali. 


Biskut Keju tu saya buat banyak-banyak sekaligus untuk sarapan dia sebab dia ni pun macam abangnya lah juga, pagi-pagi lepas menyusu badan tu macam dah tak sabar-sabar dah nak bersarapan. Jadi saya buatlah terus biskut keju biar dia makan pagi-pagi. Nanti ada masa saya bagi resepinya. 😊


Ok, jangan lupa mencubanya ya, yang penkek ni. Memang baunya sahaja pun dah sedap, nasib baiklah maknya puasa 😄. Nanti ada masa saya kongsikan juga resepi  lempeng pisang yang saya selalu buat untuk Azhad ni, guna tepung beras dan tepung jagung. Mudah sangat. 


Sampai jumpa lagi! 😊

Wednesday 28 April 2021

Ayam Goreng Ala Stail Cina Atau Ala KFC Ni?

 Assalamualaikum.

Ya Allah, lama tak buka blog ni, buka-buka je aleh-aleh dah 6ribu lebih total pageviews bagi blog ni. Tak sangka betul. Terima kasih ya bagi yang sudi membaca. Membebel je lebih dalam ni.

Ok, sebab dah tengok wow ramai juga yang membaca blog saya ni, jadi semangat nak menulis dan berkongsi tu semakin berkobar-kobar. Haha. Bagai dapat satu suntikan semangat yang hebat. Terima kasih sekali lagi ya bagi yang datang melawat blog saya ni. Tak tahu nak cakap macam mana. Mungkin bagi sesetengah orang 6ribu tu tak banyak, tapi bagi amatur macam saya ni, Ya Allah, seronok rasa. Terima kasih, terima kasih sekali lagi. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. 

Jadi untuk nak meneruskan bebelan saya di blog ni, memang banyak benda yang nak ditulis dan dikongsi. Almaklumlah dah setahun lebih tak menulis di sini, kena cari auranya balik.

Ok, kali ni saya nak kongsikan cara saya masak ayam goreng yang tak tersengaja sedap pula. Masuk bakul angkat sendiri ni, haha, tapi percayalah, cubalah. Saya masak ni sebelum bulan puasa lagi tapi itulah disimpan sahajalah gambarnya. Suka mengambil gambar masakan yang dimasak. Satu keseronokan pula bila dah masak dan tak tersengaja jadi sedap, ha, terpaksalah ambil gambar sebagai memori kan? :0

Masakan yang saya nak kongsikan adalah ayam goreng yang rangup dan memang sedap. Sebenarnya saya masak ayam goreng ni nak buat ayam marmite, salah satu masakan orang Cina. Bagi yang tak tahu, suami saya ni berbangsa Cina. Jadi saja lah kan nak buat masakan orang Cina. Tambah dia pernah minta saya masak ayam marmite ni. Dulu dibelinya botol marmite yang kuning tu suruh saya masak tapi akhirnya terpaksa buang je sebab dah sampai tarikh luput. Marah jugalah dia pada saya tapi entahlah, tak berminat saya nak masak sebab memang tak boleh nak masuk tekak si marmite tu, rasa nak muntah je bila membuka dan membaunya. Iyalah, kita orang Melayu mana makan sangat si marmite ni.

Jadi alkisahnya masa tu nak raya Cina, ha, raya Cina tahun ni, tahun 2021. Masa tengah dok fikir nak masak apa untuk hari raya Cina tu saya pun teringat yang saya pernah beli perencah sup jenama Masfood dan suami saya suka sangat, katanya bila makan teringat pada masakan arwah maknya. Jadi saya rasa saya cubalah cari perencah tu balik sebab macam dah tak jumpa dah perencah tu di kawasan rumah saya. Dulu ada pasaraya Giant di sekitar rumah saya, di situ selalu ada, tapi bila Giant tu dah tutup jadi macam dah tak jumpa dah.

Cari lah mencari di Shopee mahupun saya siap pm lagi di facebook Masfood, siap tanya lagi mana nak beli. Memang tengok senarai kedai yang ada perencah mereka ni di pasaraya-pasaraya besar sahaja. Akhirnya dengan raya Cina nak dekat sangat dah, saya pun beli di Shopee dengan harapan sempatlah sampai sebelum raya Cina. Tawakal je masa tu. 

Dan Alhamdulillah, sempat juga sampai. 

Selain perencah sup, saya juga beli sos untuk but ayam marmite dan juga ayam lemon. Alang-alang dah nak membeli kan, bila saya tengok ada juga sos untuk buat ayam marmite tu terus teringat pada hajat si suami saya dulu. tak apalah saya beli sahajalah dan cuba. 

Akhirnya inilah hasilnya. Ayam goreng yang tak sempat jadi ayam marmite. Sebab apa, sebab sebelum letak sos marmite pun dah tak boleh tahan nak makan. Sedap yang amat. Tak berhenti pula bila dah makan tu, haha. 

Ayam oh ayam, tak sempat nak jadi ayam marmite dah kena ngap 😋



Nyum! Nyum!😂😋




Ni bagi ke anak saya, yang dah 2 tahun tu, sebab tak menyempat, baru je saya letak atas meja tangan dia dah mencapai nak makan 😄



Ni resepinya, di belakang plastik sos ayam marmite jenama Masfood, tapi saya olah sedikit. Nanti saya cerita di bawah. 



Ni la sos marmite yang mula-mula suami saya beli. Ok, bau dia pun dah tak boleh dibawa bincang. Tapi suami saya selamba je, selera dia.


Dalam resepi belakang plastik tu, semua bahan dicampur dan diperap termasuklah telur dan tepung. Mula-mula memang saya buat macam tu, tapi hasilnya macam tak syok je. 

Kemudian lepas tu telur dengan tepung tu saya buat asing. Saya perap dengan lada sulah, minyak bijan dengan garam tu je. Nak goreng tu baru saya celup dalam telur kemudian masuk dalam campuran tepung gandum dan tepung jagung. Saya buat dalam nisbah 4-5 sudu tepung gandum dengan sesudu tepung jagung. 

Hasilnya memang mengagumkan. 

Memang macam ayam KFC pun ada. Itu yang saya buat tajuk coretan untuk kali ini ayam goreng stail Cina atau ala KFC ni, sebab masa dah masak tu saya sendiri pun tertanya-tanya, eh, aku ni masak ayam goreng stail apa, dah macam ayam KFC pula, haha, biasalah tu mengomel pada diri sendiri.

Oklah, anda boleh cuba. Nak tengok macam mana rupa ayam marmite yang saya buat dengan sos marmite Masfood ni? 

Lain kali saya cerita. Itu antara permulaan saya cuba resepi ikut arahan pada plastik Masfood tu. Jadi ayamnya kurang gebu sikit. Tak apalah, nanti saya cerita ya. 

Moga berjumpa lagi 😉