Thursday 30 May 2019

Kisah Benar: Letaklah Nama Anak Sebagai Penama KWSP, Inilah Yang Akan Terjadi

Assalamualaikum.

Baru-baru ini saya ditanya oleh seorang wanita, balu anak tiga, melalui 'private message' di facebook dan seterusnya berlanjutan ke aplikasi 'whats up' apabila saya meninggalkan komen mengenai hibah di facebook.

Wanita ini bertanyakan saya mengenai apa yang perlu dibuat dengan hartanya memandangkan suaminya sudah meninggal dunia. Hanya anak-anaknya sahaja yang tinggal jadi dia risau apa akan terjadi nanti dengan harta untuk anak-anaknya. Maka panjanglah ceritera saya mengenai proses pengurusan harta selepas meninggal kerana apabila berceritakan mengenai perkara ini, seseorang itu perlu memahami juga keseluruhan proses supaya lebih nampak dengan lebih jelas akan keseluruhan proses tersebut.

Namun apa yang menarik hati saya adalah persoalannya mengenai duit KWSP yang telah ditinggalkan oleh arwah suaminya yang baru sahaja meninggal beberapa bulan lepas. Wanita tersebut bertanyakan saya apa yang perlu dibuat dengan wang KWSP arwah suaminya yang telah diberikan kepadanya. Seperti biasa jawapan saya ianya perlu dibahagikan secara faraid kepada semua waris faraid arwah suaminya pada ketika arwah suaminya meninggal.

Walau bagaimanapun perbincangan tersebut tidak terhenti di situ sahaja kerana wang KWSP arwah suaminya masih ada lagi di KWSP. Mengapa? Anda boleh baca perbualan wasap saya di bawah.


Hanya bahagian si isteri sahaja yang sudah dikreditkan.


Menurut paparan di atas, hanya wang yang diletakkan di atas nama beliau sahaja yang sudah dikreditkan. Manakala yang lainnya yang diletakkan di atas nama setiap seorang dari anaknya belum lagi dikreditkan.

Untuk pengetahuan semua, wang KWSP tersebut hanya boleh dikeluarkan apabila anaknya berumur 18 tahun. Maka kena tunggulah seorang demi seorang anaknya mencapai umur 18 tahun. Yang lebih ssukar lagi adalah apabila dikeluarkan sahaja wang tersebut, ianya bukan hak milik mutlak anak tersebut, ianya perlu diagihkan mengikut bahagian faraid arwah suaminya.

Namun apa yang lebih menggusarkan lagi adalah kemungkinan di mana ada di kalangan waris faraid arwah suaminya ini yang telah meninggal dunia pada masa wang tersebut dikeluarkan.

Apa yang perlu dibuat adalah bahagian faraid waris itu perlu diagihkan pula kepada waris-waris faraid waris yang dah meninggal dunia itu. Nampak tak bagaimana perkara ini menjadi semakin rumit dan semakin lambat diselesaikan apabila meletakkan penama adalah di kalangan mereka yang kurang berumur 18 tahun.

Jangan risau, bahagian anak-anak di bawah umur 18 tahun pasti ada dalam bahagian wang KWSP tersebut selagi mereka adalah waris-waris faraid si arwah. Takkan ke mana perginya. Penama itu hanya orang yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang KWSP tersebut dan mengagihkannya kepada waris-waris faraid si arwah. Penama kena tahu peranan mereka dan waris-waris juga perlu tahu akan hak mereka.

Penama bukan pemilik mutlak wang tersebut. Mereka adalah wakil yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang tersebut dan membahagikannya kepada waris-waris faraid si arwah.

Kes sebenar sudah ada di depan mata, mohon tolonglah ambil kisah ini sebagai iktibar. Kasihan pula pada anak yang baru sahaja mencapai umur 18 tahun dah ditugaskan mengagihkan wang KWSP tersebut kepada waris-waris faraid si arwah. Tambah malang lagi jika waris si arwah sudah meninggal dunia, pening kepala budak 18 tahun nak memikirkannya.

Sekian.

Tuesday 28 May 2019

Cara Elak Anak Kena Gigit Nyamuk Bila Dalam Buaian

Assalamualaikum.

Hari ini memang tak ada idea langsung nak tulis apa, tup, tup, ternampak buaian anak dalam bilik. Hajat di hati dah lama nak tulis pasal nyamuk dan buaian ni, jadi hari ni jomlah saya bercerita.

Kisahnya mengenai rumah saya ni, adakalanya memang banyak nyamuk terutamanya bila musim panas. Musim di mana hujan jarang turun, asyik panas sahaja. Entahlah, mungkin sebab dekat dengan kolam kumbahan, takungan air tu banyak jadi nyamuk asyik nak mengawan saja kot musim-musim panas tu.

Al-kisahnya saya pun bukannya selalu sangat letak anak dalam buaian, dah 9 ke 10 bulan ke atas baru selalu masukkan ke dalam buaian sebab susah sangat anak saya ni nak tidur. Sebelum tu adalah juga masukkan ke dalam buaian cuma jarang sekali.

Tetapi alang-alang dah masukkan ke dalam buaian, menyinga jugalah rasa bila tengok 2 ke 3 ekor nyamuk berterbangan sekitar anak saya tu dalam satu-satu masa. Haih, geram rasa. Nak tepuk pun payah sebab anak kan tengah tidur, mau terjaga dibuatnya. Jadi berligatlah kepala otak ni mencari apa nak buat dengan nyamuk ni.

Ubat nyamuk? Hihu, saya ni memang sejenis yang kurang suka nak pasang ubat nyamuk di siang hari. Dahlah malamnya semalaman dah buka ubat nyamuk elektrik tu, ni siang pun nak buka juga.

Jadi, masa tengah mengomel-ngomel dengan suami pasal benda ni, tiba-tiba tak tahu macam mana terpacul satu idea ni di kepala otak saya. Saya teringat yang suami pernah beli kelambu ala-ala pengantin gitu masa kami sebelum kahwin di Ikea. Ha, kelambu yang ada bulatan di bahagian atasnya tu.

Masa tu beli pun sebab suami asyik bising pasal nyamuk. Sebelum kahwin pun dia memang duduk di rumah ni. Jadi bila nampak kelambu tu saya pun suruh dia beli. Tapi sampai lepas kahwin, sampai dah ada anak pun tak guna-guna lagi, haha. Bila dah ada masalah nyamuk masa anak dok dalam buaian ni, maka gunakanlah. Jadi, inilah hasilnya, hihi.





Haha, kelakar pula tengok gambarnya, tapi inilah hasilnya. Memang lepas tu dah tak rasa risau dah pasal nyamuk, boleh tersenyum dengan gembiranya, hihi.

Jadi bagi sesiapa yang tak mahu guna ubat nyamuk tak kiralah yang lingkar hijau tu, yang elektrik tu, yang sembur-sembur tu, bolehlah guna cara ni. Carilah mana-mana kelambu yang sesuai tapi yang Ikea punya ni syok sikit sebab ada kayu bulat di bahagian atasnya tu, jadi kelambu tu elok saja bentuknya.

Ok, boleh cuba ya!

Sunday 26 May 2019

Pakej Al-Wasitah: Pakej Lengkap Pengurusan Harta Selepas Meninggal Dunia

Assalamualaikum.

Hari ni nak menceritakan mengenai PAKEJ AL-WASITAH, pakej khas untuk semua dari Wasiyyah Shoppe dalam menguruskan harta yang akan ditinggalkan selepas kita meninggal nanti.

Pakej ni menyediakan khidmat pengurusan harta selepas meninggal dari awal anda meninggal sehinggalah surat kuasa tadbir dikeluarkan untuk diberikan kepada waris anda. Dengan surat kuasa tadbir inilah waris-waris anda boleh mencairkan atau mengeluarkan harta-harta anda untuk dibahagikan sesama waris.

Di bawah ini saya berikan khidmat-khidmat yang diberikan oleh Wasiyyah Shoppe kepada anda dan waris-waris anda apabila melanggan pakej ini:


Khidmat yang diberikan terbahagi kepada dua bahagian: sebelum kematian dan selepas kematian (kepada waris-waris anda). 

Ramai sebenarnya yang tak nampak kepentingan pakej ini kerana memikirkan bahawa pasti ada ahli keluarga atau orang terdekat yang akan menguruskan harta mereka selepas mereka meninggal dunia. 

Contohnya adik, kakak, atau suami/isteri yang akan menguruskannya tetapi tahukah anda bukan semua yang anda senaraikan itu adalah waris faraid anda? Dan berapa ramai pula yang mana mereka adalah waris faraid anda tetapi tidak tahu apa yang perlu dibuat, yang tahu hendak ke mana untuk menguruskan harta anda selepas anda meninggal dunia. 

Saya bagi contoh diri sayalah. Saya senaraikan di sini waris-waris faraid saya yang akan menguruskan harta saya selepas saya meninggal dunia:

1. Ayah saya
2. Ibu saya
3. Suami saya
4. Anak lelaki saya yang baru berusia 1 tahun (pada ketika artikel ini ditulis). 

Apabila melihat kepada senarai ini, banyak yang saya berfikir akan siapakah yang saya ingin pertanggungjawabkan untuk pergi ke Pejabat Pusaka atau ARB atau Mahkamah Tinggi Sivil untuk menguruskannya. Harta saya tidak boleh dibawa keluar lagi ya, semuanya dibekukan. 

Siapa? Siapalah yang boleh menguruskan urusan harta-harta saya ni selepas saya meninggal??

Ayah saya? Ibu saya? Tak sampai hati rasanya nak suruh mereka kerana masing-masing sudah tua.

Anak lelaki saya? Pastilah tidak kerana masih lagi kecil usianya.

Iya, pasti ramai yang akan mencadangkan saya akan suami saya, tetapi jangan lupa ya, perkahwinan adakalanya bukan untuk selama-lamanya dan 'bekas' suami bukanlah waris faraid. 

Jika masih bersama pun, saya tidak sampai hati untuk menyusahkan beliau untuk turun naik Pejabat Pusaka/ARB/Mahkamah Tinggi Sivil kerana saya tidak suka mengganggu masanya, beliau ni seorang yang kuat kerja sedikit. Mungkin pengorbanannya itu akan menjadi beban kepadanya dan saya tidak suka akan kenyataan itu. 

Antara sebab lain lagi saya mengambil pakej ini adalah:

1. BANTUAN PROFESIONAL PERCUMA yang akan diberikan kepada waris-waris saya. Jika dilihat kepada situasi masa kini, antara sebab banyak kes pusaka tertangguh adalah kerana waris tidak tahu kepada siapa mahu dirujuk. Nak rujuk peguam, tak pastilah percuma atau tidak. Fikir-fikirkan. 

2. DOKUMEN/WASIAT PERLANTIKAN WASI diberikan juga secara PERCUMA. Semasa hidup lagi saya dah lantik wasi dan dah senaraikan semua harta saya, semua hutang saya, semua nama mereka yang berhutang kepada saya. Mudah bukan apabila semuanya dah disenaraikan, nak uruskan pun dah senang sebab waris-waris saya dah tahu kesemuanya, tidak perlu tercari-cari lagi. Khidmat ini adalah diberikan percuma apabila melanggan Pakej Al-Wasitah. Jika tidak caj yang dikenakan adalah RM300. Fikir-fikirkan. 

3. Saya juga boleh membuat DOKUMEN WASIAT 1/3, juga diberikan secara PERCUMA. Jika ada hajat saya untuk menderma kepada mereka selain bukan waris saya, dah boleh tunaikan InsyaAllah dengan dokumen ini. Ianya percuma apabila melanggan Pakej Al-Wasitah. Jika tidak caj yang dikenakan juga adalah RM300. Fikir-fikirkan. 

4. Satu lagi yang saya sangat sangat suka adalah KHUTBAH PUSAKA yang akan diberikan oleh Wasiyyah Shoppe kepada waris-waris saya selepas sahaja saya meninggal dunia. Di khutbah pusaka ini Wasiyyah Shoppe akan menerangkan kepada waris-waris saya akan pembahagian harta saya selepas meninggal dunia. Semua dokumen yang terlibat juga akan dibentangkan di sini. Contohnya jika saya ada membuat wasiat 1/3, membuat dokumen hibah, melantik seseorang untuk menguruskan perniagaan saya, semuanya, kesemuanya akan dibentangkan untuk difahamkan oleh waris-waris dan diambil tindakan oleh Wasiyyah Shoppe dan waris-waris. Ini yang paling saya suka kerana ia sangat sangat menbantu waris-waris saya. Sekurang-kurangnya saya tahu saya tidak meninggalkan waris-waris saya keseorangan terkapai-kapai dalam menguruskan hal harta saya selepas saya meninggal dunia.

Ia juga mengelakkan pertelingkahan kerana ianya diterangkan oleh pihak ketiga yang tidak berkepentingan seperti Wasiyyah Shoppe. Jika ianya diterangkan oleh salah seorang waris saya, mungkin akan ada waris yang lain yang mempertikaikan keterangan tersebut dan menuduh waris saya itu ingin membolot harta saya dan itulah yang sering terjadi dalam masyarakat Islam di Malaysia hari ini apabila melibatkan kes harta pusaka. Ingat ya, kehadiran orang ketiga yang tidak mempunyai kepentingan memang sangat membantu dalam mengelakkan pertelingkahan antara waris-waris. Sudah banyak testimoninya. 

Ok, sudah panjang saya membebel ni. Sampai di sini sahaja dahulu. Di artikel akan datang saya akan ceritakan kes-kes atau situasi-situasi di mana Pakej Al-Wasitah ini memang akan sangat membantu dalam menyelesaikan gelora 'keseorangan' dalam menguruskan harta selepas meninggal ini. 

Sekian buat kali ini. Jika ingin penerangan lanjut lagi mengenai pakej ini, sila wasap saya di www.wasap.my/601111438363

Friday 24 May 2019

Salam Tahziah Untuk Rakyat Pahang

Assalamualaikum.

Mungkin sudah agak terlambat untuk saya ucapkan ucapan tahziah ini, apa-apa pun saya tetapkan nak ucapkan juga salam tahziah ini kepada rakyat Negeri Pahang yang telah kehilangan ayahanda sultan mereka.

"Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Sultan Ahmad Shah diumumkan mangkat jam 8.50 pagi.
“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.
"Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau turut meminta semua rakyat bersama-sama mendoakan semoga roh Almarhum Sultan Ahmad Shah dirahmati dan ditempatkan bersama para syuhada."


Sumber: BH Online 22 Mei 2019

Wednesday 22 May 2019

Tiga Fakta Mengapa Ekonomi Orang Islam Di Malaysia & Indonesia Masih Lemah

Assalamualaikum.

Ok, memandangkan dah cuti 2 hari, jadi kenalah juga ganti menulis sesuatu untuk dua hari tu.

Apa yang saya nak tulis ni, dari hari Isnin hari tu saya nak tulis dah. Selepas sahaja melihat rancangan Ayuh Bangkit di TV Al-Hijrah pukul 8.45 malam, terus saya nak menulis tiga fakta ini. Tiga fakta yang diberikan oleh panel tersebut iaitu mengapa orang Islam di Malaysia dan Indonesia tidak menguasai ekonomi padahal orang Muslimlah paling ramai populasinya di kedua-dua negara ini.

Lagi satu mengapa saya nak tulis mengenai topik ini kerana sentap jugalah saya bila diutarakan tiga fakta ini, terutama fakta yang terakhir. Perlu diambil pengajaran oleh semua.

Ok, episod Isnin lepas mengutarakan tiga fakta ini. Tiga fakta atau tiga poin mengapa orang Islam di Malaysia dan Indonesia mempunyai peratusan penglibatan dalam ekonomi yang sangat rendah padahal peratusan populasi kita adalah lebih tinggi berbanding orang bukan Muslim.


FAKTA 1: Kurang ilmu kewangan.

Iya, sentap juga ni. Padahal dalam Islam dah bagitahu jangan membazir dan ukurlah baju di badan sendiri. Tambahan pula dengan stigma orang Islam tak perlu kaya kerana harta bukan boleh dibawa mati pun.

Hmm, memanglah tak boleh bawa mati, tetapi boleh dimanfaatkan untuk kehidupan lepas mati nanti, kan? Contohnya apabila ia dimanfaatkan oleh orang-orang lain di dunia ini, kan dapat pahala tu. Pahala tu kan dibawa sampai mati.


FAKTA 2: Kurang ilmu perniagaan.

Fakta ini katanya berkait juga dengan Fakta 1. Iyalah, bila dah kurangnya ilmu kewangan sudah pastinya ilmu perniagaan pun kurang mahir kerana ia juga melibatkan wang, duit, transaksi duit dan sebagainya. Kewangan diri sendiri pun tak boleh nak urus bagaimana pula untuk mengurus kewangan syarikat, kan? Logik di situ.


FAKTA 3: Kurangnya pendedahan dari usahawan Muslim yang sudah berjaya.

Ok, yang ini lagi makan dalam. Kata panel, di Malaysia dan Indonesia ni, bukan tak ada peniaga atau usahawan Muslim yang berjaya, ada tetapi mereka tidak mengalirkan ilmu itu kepada muslim yang lain.

Bila mendengar kata-kata panel ni, terus terdetik kata-kata yang Melayu ni penuh hasad dengki. Terus teringat kepada bomoh membomoh. Yup, realiti yang pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya. Saya merujuk kepada 'Melayu' di sini kerana kebanyakan yang muslim di Malaysia dan Indonesia ini adalah Melayu. Maaf jika sentap ya.


Pada saya, kenapalah nak cemburu sangat weh dengan kejayaan orang lain, dia usaha, bukan dia tak usaha. Itu rezeki dia. Rezeki ni kita kena bayangkan bahawa kita dan orang lain berjalan pada jalan-jalan yang berlainan. Anda kena muhasabah diri sedikit dan apabila ada cemburu yang timbul, anda kena bayangkan dua perkara ini (inilah juga perkara-perkara yang saya selalu buat jika terdetik rasa cemburu dengan kejayaan orang lain):


1. Bagaimana dia berusaha dengan bagaimana anda berusaha.

Cubalah tengok usaha dia dan cuba pula tengok usaha anda bagaimana. Kadang usaha kita alahai seciput saja tapi nak marah bagai usaha kita tu berciput-ciput macam usaha dia.


2. Jika anda rasa anda lebih berusaha daripada orang yang anda cemburu tu, bayangkan pula anda dan orang yang anda cemburu tu berjalan di atas dua jalan yang berbeza. Walaupun anda dan dia berjalan bersebelahan tetapi bayangkan jalan anda ada batu-batu keras nak dialihkan, mungkin batu dia kecil sahaja tetapi batu anda besar. Mungkin selepas itu berjumpa dengan singa tetapi kali ni singa dia lebih besar pula.


Antara statistik yang diberikan dalam episod hari Isnin lepas. Jika nak tengok episod penuhnya, ada di Youtube. 15 minit je pun untuk setiap episod.   

Jadi tak perlulah nak cemburu bagai sangat, Allah dah jadikan setiap jalan rezeki untuk setiap manusia itu berbeza, walaupun mereka tu kembar muka serupa. BERBEZA, ok?

Mohon sentaplah dan hentikanlah perbuatan cemburu mencemburui yang negatif ni. Penat nak layan.

Dunia Ini Bukan Selalunya Indah Wahai Anakku

Assalamualaikum.

Hari ini, 22 Mei 2019. Hari Nuzul Quran, hari Al-Quran diturunkan.

Al-Quran membimbing kita dalam kehidupan di dunia ini. Al-Quran juga membawa kebahagiaan kepada mereka yang berpegang teguh kepadanya.

Sempena Hari Nuzul Al-Quran ini, saya ingin mencoretkan sedikit pesanan buat anak saya bahawa hidup ini penuh dengan cabaran. Hidup ini tidak selalunya indah. Namun InsyaAllah ia akan sentiasa indah jika terus berpegang teguh dengan Allah dan kata-kataNya yang diturunkan melalui Rasulullah SAW.

Iya anakku, hidup ini penuh ujian. Ujian yang adakala datangnya dari manusia. Bukan semua manusia akan menyukaimu wahai anakku walaupun kamu tidak pernah membenci mereka.

Lihatlah, di kali pertama Azhad bertatih dan mahu sama-sama bermain dengan kanak-kanak yang lain di sekelilingmu, ada yang tidak menyukaimu dan menolakmu. Pertama kali dalam hidupmu kamu ditolak sebegitu rupa. Mama melihatnya dengan mata mama sendiri.

Tapi mama bangga dengan Azhad. Azhad tidak sama dengan kanak-kanak lain. Azhad teruskan juga mendekati kanak-kanak lain untuk berkawan dengan mereka. I am proud of you. Macam tu lah anak mama.

Mungkin sekarang Azhad tidak memahaminya. Tapi ingatlah kata-kata mama ini ya. Hidup ini adakalanya ada yang tidak menyukai Azhad, tetapi Azhad jangan mudah mengalah. Bangkit dan senyumlah. Hidup ini tidak rugi jika Azhad juga menolak manusia yang membuat onar dan menjadi parasit kepada Azhad.

Yang penting Allah tidak menolak Azhad dan Azhad juga tidak menolak Allah. Sentiasalah berpegang kepada kata-kataNya wahai anakku. Amin.

Pertama kali bawa Azhad ke tempat permainan sebegini. Itupun secara kebetulan. Ikutkan nak shopping di Parkson Evo Mall ni tapi nampak ada tempat permainan ni, singgahlah sekejap. Kasihan, pertama kali main ada budak yang tak nak main dengan Azhad dan tolak Azhad. Apa pun suka tengok Azhad pergi ke setiap budak dan tegur semua budak di situ. Tersenyum mama tengok :) (Gambar diambil pada 20 Mei 2019).


Sunday 19 May 2019

Buku Adalah Untuk Dimanfaatkan Oleh Semua Orang

Assalamualaikum.

Semalam tak tulis blog, alahai, sedih pula dah terlepas satu hari dalam bulan ni. 

Tapi tak mengapalah, hari ni tak boleh malas-malas lagi, kena istiqomah menulis satu artikel untuk setiap hari. 

Ok, hari ini nak tulis pasal apa ya? Hmmm....tengah fikir ni sat.

Oooo, hari ini saya boleh tulis mengenai kisah semalam, kisah saya menghantar buku ke projek amal yang saya pernah ceritakan sebelum ini iaitu projek perpustakaan mini di Surau Desa Tasik Sungai Besi Kuala Lumpur. 

Hmmm, saya tak ambil pula gambarnya. Gambar buku-bukunya. Ikutkan tak nak cerita pun pasal ni tapi sebab nak menggalakkan anda semua juga untuk menyumbang, tak apalah, cerita juga. (Sekejap, saya rasa saya ada ambil gambar antara buku-bukunya masa nak tanya anak saudara saya di wasap). 

Buku-buku yang saya bagi semalam adalah buku-buku teks dan latihan yang saya beli untuk dijadikan bahan semasa mengajar tuisyen dulu. Iya, saya kurang gemar untuk menfotokopi buku-buku walaupun ia menjimatkan, tetapi saya akan membeli dalam satu atau dua buku yang bersesuaian dengan tahap pelajar tersebut dan buku tu memang khas untuk pelajar tersebut. Saya bukan jenis beli banyak-banyak buku latihan dan fotokopi mana yang nak sahaja dari buku-buku tersebut.

Nak kata fotokopi lagi jimat, hmmm, tak juga tau. Sebab saya pernah buat kira-kira untuk fotokopi keseluruhan buku latihan tu dan saya dapati, ok, beli baru lagi murah. Jika nak fotokopi dua mukasurat jadi satu mukasurat pun saya rasa kurang berbaloi, tulisan makin kecil, nak mengajar pun dah tak seronok. 

Apa-apa pun pada saya, nak menfotokopi satu buku ni bukanlah perkara yang bijak. Perasan tak di muka surat hadapan kebanyakan buku latihan ada diberitahu akan larangan untuk mencetak semula atau menfotokopi tanpa kebenaran. 

Nampak biasa benda ni tetapi bila difikirkan balik ia melibatkan juga dengan keberkatan kita mencari rezeki dalam mengajar tuisyen. 

Dah, dah, cerita pasal hakcipta buku pula, hihi. 

Ok, buku-buku yang berikan semalam adalah buku-buku yang saya gunakan untuk mengajar tuisyen sebelum saya berkahwin dan mengajar sekejap semasa saya mengandung. Kemudian saya fikirkan bahawa memang agak susah lagi untuk saya mengajar kembali dalam masa terdekat ni jadi saya rasa bagi sajalah kepada mereka yang memerlukan termasuklah anak-anak saudara saya. 

Buku-buku tu sekarang ada di rumah mak saya. Saya suruh anak-anak saudara saya iaitu anak kakak saya yang tinggal berdekatan untuk tengok dulu mana-mana buku yang mereka nak dan selebihnya letak sahaja di rak buku di surau berkenaan. 

Antara buku teks yang saya bagi. Yang ni anak saudara saya yang ambil PT3 tahun ni katanya dia nak guna, jadi bagi pada dia saja lah. 

Matematik Tingkatan 2. Sama juga, anak saudara saya yang ambil PT3 tu nak juga buku ni. 

Yang ini untuk anak saudara saya lagi seorang, Tingkatan 5. Tapi katanya dah tak guna buku ni lagi, silibus dah bertukar. Jadi letak sajalah di surau tu buat bahan bacaan siapa-siapa pun. 

Kalau saya nak simpan lama pun memang rugi sebab sekarang silibus matapelajaran kan cepat sahaja berubah, jadi kena cepat-cepatlah bagi ke orang lain supaya ia boleh dimanfaatkan. 

InsyaAllah, harap ia dapat dimanfaatkan kepada pelajar-pelajar di sekitar Surau Desa Tasik itu, amin! 

Friday 17 May 2019

Mengingat Kenangan Mengajar Tuisyen

Assalamualaikum.

Penulisan saya hari ini mungkin panjang sedikit kerana nak mengingat dan mengenang kembali kenangan-kenangan indah semasa mengajar tuisyen dahulu.

Iya, saya pernah mengajar tuisyen, selama lebih kurang 9 ke 10 tahun lamanya. Saya berhenti mengajar sebaik sahaja saya berkahwin dan mengajar sekejap semasa mengandung untuk lepas gian.

Banyak kenangan semasa dalam tempoh 9 ke 10 tahun tu, memang banyak sangat.

Apa-apa pun apa yang saya pegang semasa saya mengajar tu adalah jika dengan ilmu yang saya sampaikan itu, walaupun dengan satu ilmu sahaja InsyaAllah ianya mampu memberi manfaat kepada pelajar-pelajar saya, itu pun saya dah puashati.

Terjadinya nak mengenang kembali ni apabila saya mendapat mesej dalam wasap ini:



Saya perasan wasap ni dalam pukul 1 -2 pagi gitu kot sebab tak tengok jam, tapi dah tengah malamlah. Senyum sekejap masa tu, nak balas dan pukul 1 pagi pula. Pagi ni baru saya balas wasapnya. Iya, ayah pelajar saya tu cikgu tu, Cikgu Hariri, cikgu sekolah rendah saya. Walaupun ayahnya tak mengajar saya semasa sekolah rendah tapi memang satu sekolah kenal dia. Dan ya, saya mengajar anaknya.

Anaknya ni istimewa sikit, disleksia dan sangatlah kinestetik. Kena bertabah ya jika tengah belajar tu nak pergi tandas lah, nak pergi tingkat ataslah, tangan bergerak-geraklah, kena sabar.

Saya mula mengajar Haziq ni tak silap saya masa dia berada di tingkatan satu sehinggalah ke tingkatan 4 sebab masa tu saya nak kahwin, jadi akan duduk jauh ke Kajang dan memang payahlah nak ke Ampang. Lagipun suami saya masa tu memang suruh saya duduk di rumah sahaja.

Sedih, memang sedih jugalah tak dapat nak mengajar dia sampai tingkatan 5. Tapi mungkin ada hikmahnya. Mungkin dia akan jumpa cikgu tuisyen yang lebih bagus dari saya, mana tahu. Fikir positif sajalah masa tu.

Tak sangka, Alhamdulillah, hari ini berita baik ini disampaikan oleh ayahnya kepada saya. Gembira, mahu tak gembira. Anak didik kita berjaya sampai ke peringkat seterusnya. 

Haziq ni, walaupun dia disleksia ada juga kelebihan dia yang buat saya tergamam. Paling saya tergamam masa dia di Tingkatan 4, kira algebra lagi laju dari saya.

Jadi jangan ingat mereka yang konon ada masalah pembelajaran sebegini tidak ada kelebihan ya. Pada saya setiap orang ada kelebihan dan kelemahan mereka. Tak perlu fokus pada kelemahan sahaja, lihatlah selalu pada kelebihan orang itu.

Saya ucapkan kepada Haziq ni selamat berjaya dunia dan akhirat. Dunia dunia juga, akhirat jangan dilupa. InsyaAllah anak yang akan sentiasa menggembirakan ibu dan bapanya, amin!!

Tahniah Cikgu Hariri, Kak Aida dan Haziq! :)

Thursday 16 May 2019

Dah Pandai Berjalan

Assalamualaikum.

Hari ini nak tulis ringkas saja.

Anak saya dah pandai berjalan, seronok tengok. Dalam dua minggu ni lah, nampak sedikit demi sedikit dia dah pandai berjalan.

Macam minggu lepas dari satu langkah ke dua ke tiga langkah, lepas tu lima ke enam langkah. Tapi minggu ni makin laju pula dan makin jauh pula dia melangkah.

Umur dah 11 bulan, lahir pada Jun 2018.

Oklah, nak catat tu saja, supaya tak lupa. Bye!

Tuesday 14 May 2019

Pertama Kali Mencuba Buat Nugget Nasi

Assalamualaikum.

Hari ini kita 'balingbelakang' (throwback) sikit. Saja nak cerita, tentang saya buat nugget nasi hari tu. Dah lama dah, tahun lepas kot, hihi.

Saja nak letak sini supaya saya pun tak lupa cara nak masaknya.

Tujuan saya masak nugget nasi ni saja nak cuba resepi yang tiada gluten sebab resepi ni memang tak ada tepung langsung. Dia pakai nasi untuk ganti tepung. Kebetulan masa tu ada nasi lebih dan ada isi ayam dalam peti ais saya, jadi apalagi, cubalah bereksperimen.

Bahan-bahannya sama sahaja atau lebih kurang sahaja dengan resepi yang pakai tepung tu cuma tepung diganti dengan nasi.

Bahan utama:
- isi ayam
- nasi

Saya tak ukur sangat timbangannya, main agak-agak sahaja. Dalam nisbah 70:30 gitu, 70 tu nasi, 30 tu ayam.

Bahan-bahan lain:

- lobak merah.
- bawang holland.
- sebarang sayur-sayuran yang anda nak tambah ikut suka hati, ada resepi yang saya tengok ada yang tambah saderi, macam sedap juga tu kalau tambah.
- serbuk kari sedikit (ini untuk perasa, nak letak perasa lain pun boleh seperti lada hitam, lada putih, herba campuran Itali, suka hati ya!).
- garam jangan dilupa.

Ok, sebelum nak gaul semua, isi ayam dengan nasi tu kena kisar dulu. Nak kisar semua sekali termasuk bahan-bahan lain pun tak apa. Tetapi jika guna pengisar biasa, eloklah kisar ayam dengan nasi dulu sebab payahnya nak mengisar ayam guna pengisar biasa, haha, masa tu Ya Allah berdoa supaya ada mesin pemproses makanan/food processor, hihi.

Dah gaul semua bahan, masukkan ke dalam bekas kukus. Kukus sampai masak (tak boleh nak bagi masa mengukus sebab setiap pengukus berbeza tetapannya, macam saya guna periuk nasi sahaja untuk mengukus jadi sudah pastilah lebih lama).

Lepas dah kukus, dah masak, potong-potonglah ikut bentuk yang anda suka dan golekkan ia ke dalam serbuk roti. Kalau separuhnya nak simpan dalam tempat beku pun boleh, nak goreng terus pun boleh.

Lepas dah kukus. Tengah dalam proses nak memotong ni. Kena hati-hati lebih sikit sebab dia macam lembik sikit, iyalah, tak ada tepung. 

Tengah nak salut dengan serbuk roti.

Dah salut dengan serbuk roti. Separuhnya saya simpan dalam bahagian beku dalam peti ais. 

Separuhnya saya goreng untuk makan. Sedap, lembut. 

Isi dalamnya setelah goreng. Inilah hasilnya! 

Antara tips lain adalah:

- Anda boleh salut dengan telur dulu sebelum salut dengan serbuk roti. Iya, saya perasan serbuk roti saya banyak jatuh masa menggoreng, tak melekat sangat pada nuget. Rugi pula rasa.

- Boleh kot kalau nak tambah sedikit tepung seperti tepung jagung nak bagi dia keras sedikit. Tapi pada saya, saya suka gila dengan teksturnya yang lembut, lain dari nuget biasa yang kita semua selalu beli di kedai. 

Ok, bolehlah cuba resepi ni jika mahu. Sekali lagi ditekankan, sukatan untuk bahan-bahan tu saya banyak main agak-agak sahaja, jadi anda pun pandai-pandailah agak. Yang penting nasi dan isi ayam tu adalah watak utama. 

Selamat mencuba!


Monday 13 May 2019

Kurang Sihat Hari Ini

Assalamualaikum.

Lewat petang baru dapat menulis di blog ini. Alhamdulillah jugalah dapatlah juga menulis walaupun tak berapa sihat. Bersin, selsema, aduhai, sabar sajalah.

Kalau tak puasa lama dah makan ubat selsema, tapi puasa kan, jadi bersabar sajalah.

InsyaAllah esok sihat kot, doakanlah ya. Bolehlah menulis panjang-panjang lagi, banyak ni topik yang nak ditulis memandangkan semalam baru pergi kelas dengan KPE saya. InsyaAllah esok saya kongsikan ilmu-ilmunya.

Sunday 12 May 2019

Santai Hari Ahad

Assalamualaikum.

Hari ini hari Ahad. Anda semua buat apa hari ni?

Saya hari ini pertama kali menjejakkan kaki ke Hotel Tenera Bangi ni. Saja ber 'me time' hari ni, hihi. Ber 'me time' dengan rakan-rakan satu kumpulan Wasiyyah Shoppe.

Ada perjumpaan hari ni, KPE (Ketua Perunding Eksekutif) saya buat perjumpaan di sini. Saja santai-santai. Memang banyak info dapat hari ni. Ikutkan macam tak dapat nak pergi tadi tapi akhirnya dapat juga pergi, Alhamdulillah.

Datang-datang di lobi tu, eh, macam kenal. Ada Butik Siti Khadijah rupanya di lobi hotel ni, menarik!!

Ada satu lagi butik bersebelahannya, butik Aura Rezeki. Tak pastilah pula produk apa Aura Rezeki ni. Apa-apa pun terkejut juga ada butik di dalam hotel ni. Mungkin sebab Butik Siti Khadijah ni sinonim dengan Bangi, hihi, memandai sajalah saya ni.

Apa-apa pun hari ni dapat juga aura positif dari KPE saya hari ini. Mungkin juga hembusan aura-aura dari Butik Aura Rezeki tadi, haha.

Terkejut saya ada butik Siti Khadijah ni. 

Tapi tutuplah pula, haha, tengok dari luar sajalah. 

Pandangan dari lobi Hotel Tenera Bangi. 



Saturday 11 May 2019

Pening Dengan Nama Bahan Kandungan Pada Produk Yang Panjang Berjela?

Assalamualaikum.

Topik hari ini saya hendak kupas mengenai nama-nama bahan yang selalu anda nampak pada produk-produk yang anda gunakan setiap hari.

Tidak kiralah produk penjagaan muka seperti pencuci muka, pelembap muka, penyegar muka dan sebagainya, ianya termasuk juga produk penjagaan diri anda seperti sabun, syampu dan sebagainya.

Antara beberapa bahan yang selalu orang sebut sebagai bahan yang membahayakan adalah seperti:

- Merkuri
- Hidrokuinon
- Paraben
- SLS

Betul kan? Namun tahukah anda bukan semua paraben berbahaya? Tahukah anda SLS mempunyai lebih kurang 20 nama yang sinonim dengannya?

Hmm, peningnya. Ingat SLS tu memang SLS sahaja, tak ada nama-nama lain.

Ada, memang ada. Bagi yang belajar Kimia akan tahu memang satu bahan kimia tu mampu mempunyai banyak nama. Nama ikut standard IUPAC dan nama-nama lain lagi yang saya pun tidak tahu dari mana asal usulnya tetapi memang sudah digunakan sejak dulu kala lagi. Nak buat macam mana, nama itu dah biasa digunakan, jadi teruskan sajalah gunakannya.

Contohnya seperti merkuri, jika ikut pada jadual berkala namanya bukan merkuri, namanya Hydrargyrum. Kalau emas pula, jika di dalam jadual berkala namanya adalah Aurum.

Jadi apabila anda melihat tiada merkuri pada produk anda, itu sudah bagus. Tetapi mungkin anda ingin memeriksanya sekali lagi kerana mungkin ada yang menulisnya sebagai 'liquid silver'.

Jadi apa nak buat, pening dah ni banyak sangat nama, nama pula panjang berjela-jela.

Ok, jika anda jenis yang betul-betul meneliti satu persatu bahan-bahan dalam produk anda, anda boleh gunakan laman sesawang ini sebagai panduan: www.ewg.org/skindeep, atau untuk di telefon bimbit pula, anda boleh gunakan app Think Dirty sebagai panduan.

Anda boleh pilih sama ada nak lihat pada produk atau bahan sahaja. Kalau nak lihat satu bahan sahaja boleh, ada ruang nanti untuk anda taip nama bahan sahaja. 

Anda boleh membuat penilaian sendiri berdasarkan nombor 'rating' yang diberi oleh app ini. Ni saya ambil contoh dari google, nanti saya ceritakan mengapa Fragrance (Parfum) tu boleh dapat markah 9. 


Ikutkan app ni boleh baca kod bar sekali. Tetapi saya dah cuba dengan produk di Malaysia memang tak boleh. Tak tahulah, anda boleh cuba. Mungkin kod bar berbeza ikut negara.  

Ok, anda boleh muatturun aplikasi ni dan cuba masukkan nama bahan yang anda nak tahu dan tengok berapa markah 'kebahayaan' yang aplikasi ini bagi. Jadi anda dah tak ragu-ragu dah dengan produk yang anda gunakan.

Selamat mencuba!

Friday 10 May 2019

Kafe Masakan Korea Mesra Keluarga

Assalamualaikum.

Hari ini saya nak bercerita pasal satu kafe masakan korea ni, berhampiran dengan rumah saya di Taman Putra Kajang, Kajang, Selangor. Bersebelahan sahaja dengan Seksyen 7, Bangi.

Seronok kafe ni, saya suka pergi. Sebab apa?

Ha, sebabnya, anda tengoklah gambar-gambar yang saya letakkan di sini.



Pertama, sebab ada rak buku ni. Alehai, sukanya saya. Jarang ada kafe yang menyediakan buku-buku yang syok untuk dibaca. Pilih saja buku yang anda nak baca, boleh baca masa sedang menikmati makanan anda. Ada novel, ada buku motivasi, ada buku bukan fiksyen. Macam-macam buku ada.

Kedua, sebab ada tempat permainan ini. Jadi bolehlah saya dan suami rehat sebentar sambil makan-makan. Rasa lega sikit kan sekali sekala dapat makan sambil anak buat aktiviti lain.


Tempat permainan yang disediakan. Saya suka!

Masa ni tak ada budak lain bolehlah dia nak main seorang di tempat permainan ni. Kalau tak, ajarlah anak-anak kita untuk berkongsi ya.  


Ketiga, sebab makanannya, sedap sedap semuanya, mana yang saya dah cubalah. Serius, pada saya sedap! Yummiieeee!!



Antara makanan kegemaran saya, potato pancake. Yang sebelah tu nasi goreng kimchi dengan daging tak silap saya. Itupun saya suka. 

Nasi goreng kimchi dengan daging. Nasi goreng ni bolehlah saya telan walaupun ada kimchi, kalau kimchi sahaja, hihu, maaflah, memang tak boleh nak telan. 


Keempat, sebab buku ini. Haha, tak habis-habis baca lagi.


Buku yang akan saya cari setiap kali datang sini. Sampai sekarang tak habis-habis baca lagi, haha. 

Saja letak pepatah ni, let us think about it. 


Pada saya, saya sangat berpuashati dengan kafe ni. Harga makanannya nak kata mahal sangat pun tak juga, berpatutan. Ada lagi makanan lain di sini yang saya dah cuba cuma tak ambil gambarnya. Bukan nak promo, tapi kalau ikut tekak saya ni, semua makanan yang saya dah cuba semua saya puashati. Sedapppp!!

Jadi bagi sesiapa yang nak pergi, bolehlah cari di encik google atau cikpuan waze. Kafenya di tingkat atas, tingkat dua. 

Surau ada disediakan cuma tandasnya jauh sedikitlah daripada surau, jadi yang perempuan kena bertabah sikit ya. Ooo, lagi satu, kafe ni memang sentiasa tayang video muzik lagu-lagu Korea ya, jadi kena bertabahlah sedikit siapa yang kurang suka mendengar lagu Korea. Alah, sekali-sekala layan apa salahnya. Takpun buat bodoh saja lah. 

Kalau nak rasa makanannya sahaja pun boleh, Foodpanda kan ada, hihi. Cari Milk Moustache Cafe, ok?

Selamat mencuba! 

Thursday 9 May 2019

Rasa Selesa Seharian Dengan Deodoren DFreshpicks

Assalamualaikum.

Hari ni nak bercerita mengenai deodoren DFreshpicks. Ternampak 'founder'nya memuatturun gambarnya di 'facebook' hari ini, terus teringat pasal produk ni.

Deodoren ni antara produk kesukaan saya dalam rangkaian produk DFreshpicks, memang saya teruja dengan deodoren ni. Tak silap saya inilah produk DFreshpick pertama yang saya guna dan saya terus jatuh hati. Semasa tu nama jenamanya bukan DFreshpick, lupa dah namanya sebelum ini apa.

Asbabnya saya membeli deodoren DFreshpicks ni dulu sebab produk Purebyso tak ada deodoren dalam rangkaian produknya, jadi saya pun mencarilah jenama lain yang ada jual deodoren. Pada masa itu saya pengguna dan juga ejen tegar bagi produk Purebyso. Jadi apabila terjumpa dengan DFreshpicks ini, saya pun membelilah dan menggunakannya.

Komen saya, sangat 'ohsem'. Saya rasa sangat syok menggunakannya.

Saya ni nak kata tiak berbau tidaklah. Walaupun kadangkala berpeluh banyak juga tetapi bau tu memang tak ada atau kurang (ini yang saya perasanlah, dan ada juga bertanya orang sekeliling semasa saya berpeluh, memang dorang kata tak ada, hihi, Alhamdulillah, bukan jenis badan berbau). Saya membelinya atas sebab lain yang segan juga saya nak cakap di sini, tapi yang perempuan tahulah, apabila seringkali juga mencukur tiak tu biasanya apa yang akan terjadi. Ha, itulah antara sebab saya menggunakannya di samping dah lama saya tak guna deodoren masa tu, jadi saja nak guna balik nak bagi rasa lebih selesa.



Ok, jadi saya pun beli dan pakailah. Alhamdulillah, saya boleh katakan perasaan memakainya tak sama dengan memakai deodoren biasa (yang bukan organik/semulajadi) di luar sana. Iya, tidak sama.

Sesiapa yang pernah memakai produk semulajadi/organik, pasti akan tahu dan rasa perbezaannya. Salah satu sebab juga mengapa saya terus menggunapakai produk-produk yang bahannya berasaskan bahan semulajadi atau organik. The feeling is different. 

Ok, bagi sesiapa yang nak mencuba, yang nak mula bertukar produk-produknya kepada produk yang berasaskan bahan semulajadi atau bahan organik, bolehlah mulakan dengan DFreshpick ni. Iya, harga mungkin agak mahal berbanding produk di pasaran sana tetapi apa yang anda dapat berbaloi dengan harganya.

Produk-produk sebegini bukan untuk mereka yang mempunyai alahan kulit sahaja tetapi semua orang boleh menggunakannya. Pada saya bukan boleh, patut menggunakannya.

Produk-produk DFreshpick yang lain. Antaranya di situ adalah lipbalm, rosewater face mist (saya pernah ulas sebelum ini) dan juga deodoren.

Boleh baca juga: Seronoknya Mengamalkan Air Mawar (Rose Water).




Antara testimoni pelanggan. Dulu saya pakai sekali sehari saja, masa nak keluar saja. Alhamdulillah, memang sangat selesa. 


Harganya RM29, pos ke Semenanjung Malaysia RM8. InsyaAllah jika tiada aral melintang saya akan letak di kedai Shopee saya tetapi buat sementara ini pembelian adalah secara manual.

*Kemaskini 27 April 2021: produk ni pun saya dah tak jual. Maaf ya. Pengeluarnya pun dah tak keluarkan produk ni lagi. 

Wednesday 8 May 2019

Jom Kurangkan Pembaziran Makanan Dengan Aplikasi 'Oh!FreeFood'

Assalamualaikum.

Ok, hari ini saya nak berkongsi mengenai satu aplikasi telefon ni yang dipanggil Oh!FreeFood.

Sangat menarik!!





Saya tahu mengenai aplikasi ini apabila ada seseorang mewarwarkannya dalam satu grup Telegram yang saya sertai. Saya tengok, eh, macam syok saja aplikasi ni. Jadi saya pun memuatturun aplikasi ini.

Bila dah muat turun, ok, memang 'ohsem'!!



Aplikasi ni ada dua bahagian utama yang penting, satu 'Share A Food', satu lagi 'Grab A Food'.



Untuk 'Share A Food' tu, anda boleh letak makanan yang anda nak bagi dan ia akan keluar di 'Available Free Food' tu. Kebanyakan yang saya tengok mereka berikan makanan kering. Tapi ok saja kot jika anda nak bagi makanan basah, anda boleh cuba.

Untuk 'Grab A Food' tu pula jika anda nak ambil makanan yang orang lain bagi. Anda tengoklah jika anda kena ambil sendiri (self pick up) atau kena jumpa orang yang bagi tu di mana-mana (meet up).

Pendapat saya, aplikasi ini sangat bagus. 

Mungkin sekarang ini nampak macam tak ramai pengguna lagi tetapi cuba anda bayangkan jika sudah ramai pengguna nanti. Manalah tahu tiba-tiba ada barang yang diiklankan di situ adalah barang yang memang anda nak guna dan mereka berikan secara percuma. Kebetulan pula pemberi itu berada berhampiran dengan anda. Apa salahnya kan ambil?

Jika anda hendak beri sebarang saguhati pun ok saja. Terpulang. Yang penting pada saya kita dapat kurangkan pembaziran. 

Contoh ada iklan yang saya tengok semalam, ada seorang ni dia nak bagi mi segera Rusky sebab rumahnya dah tak ada cerek pemanas, bukan sebab mi segera tu rosak atau dah tarikh luput. Alah, setakat satu dua bungkus mi segera takkanlah nak jual pula, baik bagi orang saja kan. Ha, itulah konsepnya.

Yang ni salah satu contoh juga, saya nampak ada orang iklankan pasal kurma ni semalam. Bro ni salah seorang yang mengambil kurma yang diiklankan.




Jadi apalagi, jom muat turun ramai-ramai aplikasi ini. Kita manfaatkan sebaik mungkin. JOM!!! Satu Malaysia kita muatturun. 

Tuesday 7 May 2019

Bolehkah Mencabar Hibah??

Assalamualaikum.

Selamat pagi dan selamat sejahtera.

Bagaimana puasa anda semalam? Ok? Hari ini pula sudah hari kedua, semoga kita istiqomah dalam menjalankan ibadah ini untuk tahun ini.

Ok, hari ini nak bercerita mengenai hibah. Jika nak bercerita mengenai hibah ni sebenarnya takkan habis-habis, ada sahaja cerita dan sambungannya. Namun semalam saya berjumpa satu artikel mengenai hibah yang sangat menarik untuk dikongsikan.

Salah satu subtopik dalam artikel tersebut adalah seperti tajuk di atas, 'Bolehkah Mencabar Hibah?'. Persoalan yang seringkali timbul di kalangan masyarakat kita dan sejujurnya ramai lagi yang masih keliru.

Jika mengikut apa yang saya belajar, dari segi perundangannya memang boleh. Namun artikel ini memberikan penjelasan dari satu sisi berlainan yang saya kira perlu diambil perhatian oleh semua orang Islam di Malaysia ini. Saya paparkan di sini penjelasannya.

"Bolehkah mencabar hibah?
“Mengapakah mahu mencabar hibah sedangkan ia sudah jelas dan ada bukti hitam putih? Sekiranya ada penipuan, orang yang menipu itulah yang menanggung dosanya. Selagi penerima mempunyai bukti hitam putih yang sah, kita kenalah terima,” katanya.
Walaupun ada ketikanya berlaku hibah secara mulut sebagai contoh, suami memberitahu isterinya dia mahu menghibahkan rumahnya kepada si isteri, ia sebenarnya sudah sah. Jadi tidak perlu pertikai lagi.
“Saya terkenangkan ramai ibu tunggal yang kematian suami akhirnya hidup dalam keadaan sengsara sebab tidak tahu hak mereka dalam faraid. Paling utama, mereka tidak tahu boleh menerima hibah sebelum berlaku kematian. Mereka pula disuruh meninggalkan rumah walhal suami pernah beritahu, rumah itu diberi kepadanya.
“Ingatlah, hibah perlu dilakukan sewaktu hidup. Apa yang dibuat selepas kematian memanglah tidak boleh menjadi hibah kerana selepas kematian, semua harta menjadi harta pusaka dan ia tertakluk kepada faraid. Hibah diberi daripada seorang yang hidup, sedar dan berakal sihat kepada seorang yang sihat, sedar dan berakal juga. Ia sudah sah. Orang lain tidak boleh lawan sebab ia hibah dan berlaku ketika pemberi hidup,” katanya.
Ini bermaksud, apabila harta sudah dihibah secara sah, tetapi jika ada yang mahu merampasnya maka mereka yang terbabit itu melakukan dosa."

Cukup mantap kupasannya.

Teringat saya kata-kata seorang peguam syarie' ini dalam satu rancangan tv iaitu kita kena banyak berlapang dada apabila melibatkan harta pusaka.

Sama juga seperti penjelasan di atas, apabila si pemberi hibah (arwah) telah menghibahkan sesuatu kepada si penerima hibah, hormatilah kerana itu hasrat si arwah.

Apa-apa pun jika anda ingin membaca artikel penuhnya boleh klik di sini.

Artikel ni dah lama, tahun 2018. Tapi saya baru jumpa dan isinya masih relevan sehingga ke hari ini. Bagus wartawan yang membuat kajiselidik ini. Terima kasih diucapkan kepada wartawan tersebut.



Monday 6 May 2019

Pastikan Ramadhan Kali Ini Ramadhan Yang Terbaik Untuk Kita

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Ramadhan tiba lagi. Ramadhan tahun 1441 Hijrah.

Sampai lagi kita ke bulan barakah ni, bulan mulia ini, bulan di mana ada satu malamnya lebih baik dari seribu malam.

InsyaAllah, bagi kita yang sudah pun berada di bulan Ramadhan ini, lakukanlah yang terbaik. Jadikan Ramadhan ini kemungkinan Ramadhan yang terakhir untuk kita. Mungkin selepas ini kita mungkin tidak sempat lagi untuk berjumpa dengan Ramadhan yang seterusnya.

Rancanglah amal ibadat di Ramadhan ini dan laksanakanlah sebaik-baiknya. Allah Maha Mengetahui akan keikhlasannya kita kepadaNya.

Jom meriahkan Ramadhan ini, jom buat yang terbaik untuk Ramadhan kali ini dan jom pastikan Ramadhan kali ini juga Ramadhan yang sentiasa dikenang di dalam hidup kita semua, amin!

Friday 3 May 2019

Projek Amal

Assalamualaikum.

Pagi ini saya nak buka topik baru, topik mengenai projek-projek amal yang saya terlibat, juga projek-projek amal yag saya ingin warwarkan kepada umum. Tujuan saya warwarkan mengenai projek-projek amal ini adalah supaya anda semua juga tahu dan jika ingin turut menyumbang kepada projek-projek amal ini, dipersilakan.

Sebenarnya adalah juga beberapa projek amal yang saya dah buat sebelum ini seperti Projek 1 Masjid/Surau 1 Penapis Air tapi yang tu saya dah tak buat lagi. Projek ini bermula apabila ada kawan saya mencadangkan saya membuat kutipan untuk menambah kepada sumbangan dari ahli keluarganya yang bercadang ingin memasang penapis air Coway bersaiz paling besar di masjid berhampiran rumah mertuanya.

Alhamdulillah, sejak dari itu sudah 5 buah penapis air kami berjaya pasangkan kepada masjid, surau dan juga pusat/rumah anak yatim.

Untuk projek kali ini, ia dimulakan juga oleh kawan saya yang membuat kutipan untuk mewujudkan perpustakaan mini di masjid atau surau. Jadi saya mencadangkan surau di kawasan perumahan mak saya di mana di kawasan perumahan mak saya ini (saya pun tinggal di sana dahulu sebelum berkahwin), saya memang tahu kebanyakannya adalah keluarga yang susah atau golongan keluarga pertengahan. Golongan-golongan di mana ingin mengeluarkan duit untuk buku-buku tambahan itu memang kena berkira-kira dahulu.

Jadi dengan itu terwujudlah perpustakaan mini di Surau Diniatul Islamiah Desa Tasik Fasa 1, Sungai Besi. Ini, gambar-gambar yang diambil oleh kawan saya yang menjadi ahli jawatankuasa surau berkenaan.





Antara buku-buku yang disumbangkan. Kawan saya yang mulakan projek ini buat kutipan dan beli buku-buku di Islamic Relief Malaysia.

Buku-buku yang dibeli di Islamic Relief Malaysia.

Buku-buku baru yang saya beli di Shopee dan poskan ke kawan saya yang ajk surau tu sebab dia duduk berhampiran. Ini hasil sumbangan kawan saya. Dia menyumbang duit dan saya belikan buku. Anda juga boleh buat begitu. 

Alhamdulillah, tengok budak-budak tu seronok membaca buku-buku di situ. Selepas ini saya bercadang juga nak buat sedikit kutipan dan beli buku-buku di Big Bad Wolf kerana buku-buku di sana banyak buku-buku aktiviti yang murah-murah seperti buku menghafal sifir dan sebagainya. 

InsyaAllah, apa-apa nanti saya info ya. 

Ataupun jika anda buku di rumah tu, buku anak-anak anda yang tidak digunakan lagi, boleh sahaja terus pergi ke surau tersebut dan menghantarnya. Masuk sahaja ke surau dan cari rak buku tersebut yang berhampiran dengan tangga. Kawan saya si ajk surau itu pun meminta juga jika ada buku-buku agama untuk dewasa pula. InsyaAllah, kita akan cuba usahakan. 

Thursday 2 May 2019

Al-Fatihah Untuk Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz

Assalamualaikum.

Semalam kita dikejutkan oleh berita kematian Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz yang meninggalkan dunia seawal pukul 7.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur.

Siapa yang tak kenal dengan Datuk Hassan Din ni, adik kepada Datuk Dr Haron Din. Kedua-duanya sinonim sebagai pendakwah terkenal di Malaysia. Selalu masuk TV beri ceramah tak kira rancangan apa pun. Kedua-duanya memang dikenali dan disayangi ramai orang.

Tapi itulah, kita hidup hanya sementara. Tak pasti pengakhiran kita pula yang bagaimana. Semoga pengakhiran yang baik-baik sahaja, amin!.

Al-Fatihah untuk Allahyarham.

Gambar diambil dari mstar, Al-Fatihah. 

Wednesday 1 May 2019

Adik Beradik Lelaki Bertanggungjawab Kepada Adik Beradik Perempuan Mereka

Assalamualaikum.

Pagi ini saya hendak membincangkan topik yang berat sedikit, topik mengenai tanggungjawab.

Kerana apa?

Kerana dalam masyarakat kita ini, kebanyakannyalah, bukan semua ya, apabila membincangkan mengenai hak, semua orang laju saja, nak cepat saja, macam dah tak sabar-sabar nak dapatkan hak mereka. Namun apabila bercakap mengenai tanggungjawab, semua orang pun laju juga, tetapi laju melarikan diri dari membincangkan mengenai perkara ini. Sap sap sui, tak tahu hilang entah ke mana apabila berkata mengenai tanggungjawab ini. Pelik bin ajaib.

Ok, hari ini saya ingin berbicara sedikit mengenai tanggungjawab di antara adik beradik terutamanya adik beradik lelaki. Adik beradik lelaki sememangnya bertanggungjwab menjaga dan melindungi adik beradik perempuan mereka.

Contohnya seperti kisah ini. Jika seorang kakak atau adik perempuan bercerai dari suaminya, siapakah yang perlu menjaga kakak/adik perempuannya itu?

Yes, it comes back to her brother/s in her family.

Iya, ia berbalik kepada adik beradik lelakinya iaitu abang atau adik lelakinya (jika ayah dan datuknya sudah tiada).

Tetapi selalunya dalam masyarakat kita ini, sebaliknya yang berlaku. Lihatlah ibu-ibu tunggal di Malaysia sekarang, di mana adik beradik lelaki mereka? Di mana bapa-bapa saudara mereka? Di mana anak-anak saudara lelaki mereka?

Sebab tu orang kata, lelaki ni tanggungjawabnya besar. Namapun Allah jadikan mereka sebagai pemimpin. Empat golongan yang menjadi tanggungjawab lelaki sampai bila-bila adalah:

1. Ibunya
2. Isterinya
3. Adik beradik perempuannya
4. Anak-anak perempuannya

Nampak tak di sini betapa Allah sangat-sangat mejaga dan melindungi perempuan melalui hadirnya lelaki.

Ternyata ada sebabnya juga Allah melebihkan bahagian anak lelaki berbanding anak perempuan di dalam pembahagian faraid.

Saya terdetik ingin menulis perkara ini setelah melihat rancangan PinkPoint yang disiarkan di TV Al-Hijrah setiap petang pada pukul 2 petang sehingga 3 petang dari hari Isnin hingga Khamis (Jumaat ulangan), di mana ahli panelnya adalah Ustaz Roslan Mohamad. Saya tak pasti untuk topik 'Jodoh Online' atau 'Anak Emak' kerana Ustaz Roslan Mohamad dijemput sebanyak 2 kali sebagai panel dalam masa yang dekat.

Empat golongan di atas itu terang dan jelas dinyatakan oleh Ustaz Roslan Mohamad.

Jadi wahai lelaki, apabila kamu mendapat bahagian atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayah atau ibu kamu, janganlah selepas itu hilang ghaib begitu sahaja.

Tidak bertanyakan tentang khabar ibu atau ayahmu, tidak bertanyakan mengenai khabar adik beradikmu terutama adik beradik perempuanmu, dan tidak juga bertanyakan khabar anak-anak saudaramu.

Akhir kata, faraid datangnya dengan tanggungjawab, bukan hak semata-mata. Boleh baca artikel di bawah mengapa bahagian lelaki lebih banyak dari bahagian perempuan di dalam hukum faraid:

https://norsaadah.com/faraid-pembahagian-pusaka-orang-islam/

Sekian, wassalam.

Kemaskini 1 Mei 2021: Memandangkan ada pertanyaan lanjut di bahagian komen, saya lampirkan dua lagi artikel untuk anda memahami tanggungjawab abang/adik lelaki terhadap adik-beradik perempuannya. 



Semoga memberi manfaat.