Saturday 8 May 2021

HARTA PERLU DIURUS WALAUPUN SETELAH MENINGGAL DUNIA (Episod 3/5)

Di post-post yang lepas telah dinyatakan tentang pentingnya membuat wasiat pesanan. 


Tetapi, bagaimana cara yang terbaik untuk membuatnya?

 

Ok, mari kita melihat zaman datuk nenek kita dahulu di mana kebanyakan wasiat pesanan ini hanya dibuat melalui lisan dan kebetulan hanya kepada orang-orang tertentu sahaja. Contohnya hanya kepada anaknya yang sulung sahaja, sebabnya kebetulan anak sulungnya itu ada ketika dia ingin menyampaikan pesanan tersebut, jadi si ibu bercakap sahajalah pada anaknya itu. 


Sedangkan sebenarnya pesanan itu juga mahu disampaikan kepada anak-anaknya yang lain. Contohnya pesanannya supaya sentiasa berbaik-baik sesama adik-beradik walaupun setelah si ibu meninggal dunia. Ataupun pesanan supaya sentiasa menjaga solat dan hubungan dengan Allah SWT walaupun nanti si ibu dah meninggal dunia, dan pelbagai pesanan lagi.

 

Dan juga mungkin sesuatu pesanan itu diberikan kepada satu dua orang sahaja, tetapi sebenarnya tanpa disedari ia juga melibatkan beberapa orang lagi. Contohnya si ayah berpesan nak berikan tanahnya kepada anaknya yang kedua dan berpesan pada anaknya itu sahaja. Namun ayahnya terlupa bahawa anak-anaknya yang lain juga ada hak pada tanah tersebut apabila si ayah meninggal dunia nanti.

 

Dari dua contoh ini kita dapat lihat, iya, kedua-dua individu tersebut mahu berpesan. Jadi, jika ingin berpesan, buatlah wasiat pesanan dan seelok-eloknya buatlah dalam bentuk yang berdokumen. Maknanya tulislah. BUKAN SEKADAR BERKATA-KATA.

 

Tulislah dalam diari anda atau di mana sahaja yang dirasakan waris-waris anda boleh menjumpainya apabila anda sudah meninggal. Kemudian jangan lupa pula berpesan pada waris-waris anda di manakah anda meletakkan dokumen atau diari tersebut.

 

Ataupun tulislah dengan pihak yang bertauliah dari segi undang-undang. Mengapa perlu pihak bertauliah?

 

Ini kerana :

 

- pertama, pihak bertauliah itu akan juga menyimpan salinan tambahan wasiat pesanan tersebut apabila salinan di pihak anda hilang/tidak dijumpai oleh waris.

- keduanya, supaya para waris tahu bahawa apa yang ditulis di dalam wasiat pesanan itu sememangnya adalah dari anda, bukannya dibuat-buat oleh orang lain.

 

Wah, seriusnya sampai kena buat dengan pihak bertauliah, dengan kosnya lagi. Pasti begitu anggapan anda.

 

Anda, zaman sudah berubah. Kita bukan lagi hidup di zaman datuk nenek kita di mana servis sebegitu masih lagi berkurangan ataupun tiada langsung. Di mana di zaman itu semua menganggap membuat wasiat pesanan ini hanya untuk warga kayangan sahaja.

 

Zaman ini dengan kos yang mampu milik anda mampu membuat wasiat pesanan itu. Kita patut berubah kerana di luar sana terdapat hampir 70 billion harta umat Islam di Malaysia ini yang tidak dapat dimanfaatkan kerana kurangnya keprihatinan kita untuk mengurus harta pusaka kita setelah kita meninggal dunia. Kita mengharapkan waris-waris kita untuk menguruskannya dengan baik, namun harapan biarlah ada strategi dan tindakan.  

 

Ok, post seterusnya mengenai wasiat 1/3. Nantikan. 




No comments:

Post a Comment